suria

APMM Tahan Dua Kapal Pindah Minyak Secara Haram

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua buah kapal yang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Tanjung Stapa, Pengerang, dekat Kota Tinggi, pagi ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Abdul Hadib Abd Wahab berkata kegiatan kedua-dua kapal, M.T. Royal Salute dan M.T. Ai Maru itu disedari 32 anggota APMM yang sedang melaksanakan Ops Perkasa Selatan pada kedudukan 3.5 batu nautika perairan Tanjung Stapa, kira-kira pukul 9.05 pagi.

"Kedua-dua kapal itu mencurigakan kerana berhimpit antara satu sama lain. Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu gagal mempamerkan dokumen bagi melaksanakan aktiviti pemindahan minyak di perairan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Hadib berkata pemeriksaan mendapati sebanyak 30,000 liter minyak jenis Marine Gas Oil (MGO) dipindahkan dari kapal M.T. Royal Salute ke kapal M.T. Ai Maru.

Kedua-dua kapal itu, katanya berdaftar di Honduras dan 28 kru yang terdiri daripada 27 rakyat Thailand serta seorang rakyat Indonesia berumur 19 hingga 53 tahun, kini ditahan untuk siasatan lanjut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain