suria

Syabu: Wanita Malaysia Ditahan Di Bali

JAKARTA: Pihak berkuasa Kastam Indonesia menahan seorang wanita rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Ngurah Rai, di Tuban, Bali petang semalam kerana disyaki membawa dadah jenis Syabu.

Wanita berusia 26 tahun yang tiba di lapangan terbang itu seorang diri dengan hanya membawa beg tangan, ditahan selepas dapati berkelakuan mencurigakan pihak kastam dan polis.

Ketua Bahagian Tindakan dan Penyiasatan Pejabat Kastam Wilayah Bali Nusa Tenggara Barat (NTB) dan Nusa Tenggara Timur (NTT), Bagus Endro dipetik agensi berita Antara sebagai berkata, petugas kastam yang memeriksa beg tangan wanita itu menemui tiga set peralatan dipercayai untuk menghisap dadah serta 0.36 gram syabu yang dibungkus dalam plastik.

Selepas pemeriksaan lanjut yang lebih menyeluruh oleh pegawai kastam wanita, pihak berkuasa menemui 10 pil eramin dan 0.62 gram syabu lagi pada wanita itu.

Wanita itu, seorang arkitek, dikatakan merancang untuk tinggal di Bali selama 10 hari dan dijemput seorang teman lelakinya yang berasal dari Jakarta, yang tiba di Bali lebih awal.

Bagus Endro berkata, ketika ditahan wanita itu kelihatan khayal, dipercayai kerana mengambil dadah sebelum berlepas ke Bali.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan semua barang yang dibawa wanita itu adalah untuk tujuan pesta meraikan tahun baru 2010 kerana beliau tiba pada ambang tahun baru.

Wanita itu dilaporkan akan didakwa mengikut Fasal 111 Undang Undang No 35 tahun 2009 mengenai Narkotik yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara minimum empat tahun dan maksimum 12 tahun serta denda minimum Rp800 juta (RM296,300) dan maksimum Rp8 bilion (RM2.9 juta). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain