suria

Semoga 2010 Bawa Transformasi Terhadap Negara

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin berharap 2010 akan membawa pelbagai perubahan terhadap negara ini dan lebih banyak peluang menarik bagi seluruh rakyat.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata jika 2009 mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai tahun yang penuh dengan jaminan dan cabaran, 2010 pula akan merupakan tahun transformasi bagi negara ini.

"Saya mengambil kesempatan semasa cuti Krismas untuk mengimbas kembali pencapaian kita pada 2009. Saya dapati ia merupakan tahun yang amat mencabar berikutan tsunami yang melanda persada ekonomi dan politik negara ini, tetapi saya tetap gembira kerana kita sebagai rakyat Malaysia, telah sama-sama berjaya mengharungi badai yang melanda itu untuk sampai ke daerah yang lebih tenteram.

"Walaupun ada pihak berpendapat ekonomi kita berada pada paras paling rendah, namun tiada siapa yang boleh menafikan bahawa kerajaan kita telah menggunakan mekanisme yang betul dan membuat keputusan tepat dalam mengemudi negara ini untuk keluar daripada ribut global yang penuh dengan keadaan tidak menentu serta berbahaya dan seterusnya kembali berada di laluan yang menjanjikan pelbagai peluang," kata Ong dalam blognya www.ongteekeat.net semalam.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata sebarang usaha untuk melaksanakan transformasi perlulah berlandaskan rakyat.

"Saya tidak akan mengalah, malah berazam untuk menyumbang ke arah memastikan peluang sama rata, rasa hormat dan prihatin ditujukkan kepada setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira warna kulit dan agama," katanya.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu pula berharap tahun 2010 akan membuka lebih banyak "jendela peluang" bagi rakyat Malaysia keturunan India dalam sektor penting, sejajar dengan usaha kerajaan menjadikan 2010 sebagai "tahun pelaksanaan".

Beliau berkata MIC yakin lebih banyak peluang akan diwujudkan bagi masyarakat itu dalam sektor pendidikan, pekerjaan dan ekonomi, berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa 2010 adalah tahun untuk melaksanakan semua program kerajaan.

"Saya menggesa masyarakat India supaya terus memberi keutamaan terhadap pelajaran dan latihan kerana dua bidang inilah yang boleh menjamin kejayaan sosioekonomi mereka," katanya.

Beliau berkata MIC akan terus menyuarakan isu-isu yang melibatkan masyarakat India kepada kerajaan, terutama melalui Jawatankuasa Kabinet bagi masyarakat India.

Katanya parti itu telah menyusun pelbagai program dan kegiatan untuk dilaksanakan pada 2010 demi kebaikan masyarakat India, selain melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi para pemimpin MIC bagi memastikan mereka menunaikan janji masing-masing.

"Keutamaan kami ialah memastikan peluang secukupnya diberi kepada masyarakat India di negara ini dalam semua sektor, melalui rundingan dengan kerajaan.

"Apa yang penting sekarang ialah masyarakat India perlu terus berpegang teguh pada perjuangan mereka dan bersatu padu bagi mencapai wawasan kita untuk menjadi masyarakat yang progresif," katanya.

Samy Vellu juga berharap konsep 1Malaysia akan terus dimantapkan dan ditanam dalam minda kanak-kanak serta generasi muda melalui sekolah, masyarakat dan kegiatan sukan.

Beliau berkata di samping kejayaan kerajaan mengekang kesan buruk kemelesetan ekonomi global daripada terus melanda negara pada tahun ini adalah berkat kewibawaan kepimpinan Najib, rakyat juga memberi sokongan mereka bagi memastikan kesan dominonya berjaya dibendung. Presiden PPP Datuk M Kayveas berkata sikap sederhana dan usaha gigih rakyat pelbagai kaum di negara ini telah membolehkan negara ini kekal stabil dan mencatat prestasi baik, walaupun dunia mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun lepas.

Katanya rakyat Malaysia juga perlu bersyukur kerana mereka dapat menyambut tahun baru dalam suasana aman dan tenteram.

"Justeru, pencapaian kita ini perlu ada kesinambungannya dalam tahun 2010 dan sudah tentunya kita perlu tingkatkan lagi usaha dan menerusi suntikan semangat gagasan 1Malaysia, memelihara perpaduan dan keharmonian kaum agar negara terus mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan," katanya.

Beliau berkata untuk meletakkan ekonomi negara di landasan yang betul dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, masyarakat perlu lebih berdaya saing, kreatif dan inovatif.

"Kita juga harus lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran model ekonomi baru yang akan dilancarkan oleh kerajaan tidak lama lagi.

"Untuk itu, marilah kita sama-sama menerapkan nilai-nilai gagasan 1Malaysia serta budaya berprestasi tinggi, ketepatan, berilmu, berinovasi, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan integriti," katanya.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula mengajak rakat negara ini menyambut kedatangan 2010 dengan azam dan semangat yang kental, sejajar dengan "hasrat kita untuk melaksanakan transformsi dan memperbaharui Malaysia".

"Kedatangan tahun baru ini membawa bersamanya harapan masa depan yang lebih cerah. Bagaimanapun, kita tidak patut memandang remeh kelemahan kita dan pengalaman yang dipelajari sebelum ini.

"Kita perlu tingkatkan kekuatan dan mengatasi kelemahan kita dalam usaha membina sebuah negara yang lebih makmur dan bersatu padu," katanya.

Dr Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi, berkata beliau berasa teruja menyambut kedatangan tahun 2010 berikutan langkah kerajaan untuk melaksanakan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi menambah baik taraf kehidupan, kualiti kehidupan dan kualiti pendidikan semua rakyat Malaysia, di samping memerangi jenayah dan rasuah.

Beliau menyeru semua rakyat Malaysia supaya memberi sokongan kepada kerajaan dalam melaksanakan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

"Pada tahun baru nanti, di samping berusaha meningkatkan sikap saling hormat-menghormati dan persefahaman sesama kita, sejajar dengan semangat 1Malaysia, kita juga perlu menerima dan memanfaatkan kepelbagaian antara kita sebagai aset dan kekuatan kita, dan membina asas lebih kukuh bagi suasana harmoni dan perpaduan untuk menuju ke dekad baru," kata beliau.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng pula berkata Malaysia perlu melahirkan lebih banyak tenaga profesional bagi membantu mengembangkan industri berasaskan pengetahuan, yang berbentuk kreatif, inovatif dan mampu bersaing di peringkat global bagi menjamin usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, mencapai kejayaan.

Katanya satu-satunya model ekonomi yang mampu menghasilkan kejayaan ialah model yang bertumpu pada manusia dan berasaskan sumber manusia.

"Tiada sebab Malaysia tidak boleh berjaya, sedangkan kita ada sumber asli dan manusia yang lebih banyak daripada Singapura, Korea atau Hong Kong," kata Lim dalam kenyataan di sini hari ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain