suria

Polis Percaya Suami Mangsa Bunuh Berada Di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Polis percaya suami wanita yang ditemui mati dalam sebuah almari pakaian di rumahnya di Pinggiran Ukay di sini Rabu lepas masih berada di Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap seorang wanita berumur 22 tahun, yang dilaporkan merupakan teman wanita kepada lelaki itu, dipercayai lelaki itu masih berada di sekitar kawasan Lembah Klang.

"Sejurus selepas kejadian itu, suami wanita yang mati dibunuh terbabit gagal dikesan polis dan siasatan yang dibuat terhadap wanita dan keluarga lelaki itu mendapati suspek berniat untuk melarikan diri ke luar negeri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jalil berkata, polis telah meminta bantuan keluarga lelaki terbabit untuk memujuk suspek menyerah diri kepada polis.

Rabu lepas, mayat Fazlina Ahmad, 39, ditemui dalam almari bilik tidur utama rumah teres dua tingkat oleh sepasukan anggota polis pada pukul 9 malam selepas menerima laporan daripada rakan mangsa yang mengadu mangsa gagal dihubungi.

Menurut Jalil, laporan bedah siasat yang diperolehi pagi tadi juga menunjukkan Fazlina mati disebabkan kelemasan.

"Mangsa mati akibat lemas kerana mulut dan hidungnya dilekat dengan pita pelekat," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain