suria

Pengusaha Perlu Proaktif Urus Risiko Kerja Di Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Pengerusi Institut Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye menggesa pengusaha pengangkutan awam mengguna pakai pendekatan proaktif dalam menguruskan risiko pekerjaan di jalan raya dan membantu mencegah daripada berlakunya lebih banyak tragedi di jalan raya.

Beliau berkata, kemalangan maut melibatkan kenderaan pengangkutan awam seperti bas ekspres terus berlaku dan telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap isu keselamatan kenderaan pengangkutan awam.

"Yang jelas, lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya, keselamatan pemanduan dan sikap pemandu. Majikan mempunyai tanggungjawab moral untuk mengguna pakai pendekatan proaktif dalam menguruskan risiko pekerjaan di jalan raya.

"Majikan perlu melakukan perubahan daripada segi sikap pemanduan dan tingkah laku pekerja mereka dan memastikan penggunaan kenderaan yang selamat dan menyediakan latihan untuk pemandu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lee berkata, majikan perlu memeriksa latar belakang lesen mereka yang akan diambil kerja sebagai pemandu, khususnya berhubung kesalahan penyalahgunaan dadah serta melakukan ujian air kencing secara berkala ke atas para pemandu bas mereka.

"Pengusaha bas juga perlu memastikan pemandu bas mematuhi langkah-langkah yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan terutama berhubung masa rehat bagi mengatasi keletihan iaitu semua pemandu bas perlu rehat 15 minit setiap dua setengah jam memandu dan hanya memandu lapan jam sehari.

"Mereka juga perlu memastikan pemandu bas tidak dibayar dengan gaji yang rendah sehingga memaksa mereka untuk melakukan lebih banyak perjalanan untuk menjana pendapatan lebih dengan merisiko keselamatan diri mereka sendiri dan penumpang," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain