suria

Hang Tuah Jaya Pusat Pentadbiran Moden Kerajaan Melaka

MELAKA: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan dibangunkan menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri Melaka yang moden dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai penggerak kehidupan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, MPHTJ juga akan dibangunkan sebagai zon kediaman yang selesa dilengkapi infrastruktur sosial dan memenuhi prinsip pembangunan bandar mapan.

"MPHTJ ke arah sebuah bandaraya pintar akan menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat dan kondusif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan MPHTJ oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Kawasan MPHTJ seluas kira-kira 14,293 hektar meliputi 24 peratus kawasan di daerah Alor Gajah, 36 peratus kawasan di daerah Jasin dan 40 peratus kawasan di daerah Melaka Tengah, kini didiami 147,209 orang.

MPHTJ yang terletak di bahagian tengah negeri ini, mengandungi kawasan pertanian sebanyak 53.8 peratus diikuti perumahan (23.2 peratus), perdagangan (2.2 peratus), perindustrian (3.7 peratus), rekreasi dan resort (6.5 peratus), institusi pendidikan (6.5 peratus) dan bakinya kemudahan lain.

Mohd Ali berkata, kerajaan negeri mengariskan enam strategi ke arah pembangunan mapan kawasan MPHTJ iaitu pembentukan pusat pentadbiran pintar; pembangunan ekonomi dan tarikan pelaburan; pembentukan imej dan identiti Hang Tuah Jaya.

Strategi lain ialah peningkatan tahap dan kualiti hidup; kawasan rekreasi dan tarikan pelancongan; dan pengukuhan urus tadbir pembangunan Hang Tuah Jaya.

"Kita berharap MPHTJ akan terus membangun sebagai sebuah pusat pentadbiran ultra moden dan menjadi contoh kepada bandar lain di Malaysia dan dunia dari segi kecanggihan pembangunan dan gaya pengurusan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain