suria

Dr Asri Ketuai Misi Dakwah Malam Tahun Baru

Dr Asri giat menjalankan misi dakwah di malam tahun baru di sekitar Butterworth
Dr Asri giat menjalankan misi dakwah di malam tahun baru di sekitar Butterworth
Dr Asri giat menjalankan misi dakwah di malam tahun baru di sekitar Butterworth

PETALING JAYA: Hasrat berdakwah di kalangan remaja seperti yang pernah disuarakan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin sebelum ini, diteruskan semalam bersempena dengan malam tahun baru di sekitar Butterworth.

Lebih kurang 80 aktivis dakwah yang menaiki 20 buah kereta ikut serta dalam misi dakwah tersebut yang diketuai Dr Asri, di sekitar Jalan Pantai Butterworth.

Menurut Ariff Arifin dari portal rasmi www.dr Maza.com, operasi ini bermula pada jam 11.20 malam sebaik sahaja Dr Asri selesai menyampaikan tazkirah di Institut al-Qayyim, Bukit Mertajam.

"Misi dakwah itu antara program yang disusun untuk tahun ini dan akan dijalankan dari masa ke semasa oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Institut al-Qayyim," jelas Ariff.

Menurut Ariff, Dr Asri akan membantu aktivis-aktivis dakwah untuk menjalankan misi ini, bertujuan untuk menyebarkan dakwah kepada orang ramai, terutama muda-mudi dengan mendekati mereka.

"Selain itu, kami turut menyebarkan risalah yang diadaptasi dari tulisan Dr Mohd Asri yang bertajuk; "Jalan Pulang ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas".

"Sebanyak 1000 unit risalah yang dicetak berdasarkan artikel Dr Asri di bawah tajuk yang sama diedarkan semalam. Alhamdulillah, sambutan yang diberi amat menggalakkan," kata Ariff.

Jelas Ariff lagi, beberapa kumpulan telah dibahagikan dan ditugaskan untuk bergerak di beberapa tempat sekitar Seberang Prai yang menjadi tumpuan menyambut Tahun Baru 2010.

"Budak-budak muda memberikan sambutan yang hangat kepada usaha murni ini. Rata-rata mereka mengenali Dr Mohd Asri dan memberikan maklum balas positif di atas usaha yang dilakukan. Mereka juga dilihat tidak segan untuk mendekati Dr Mohd Asri dan beramah mesra dengannya dan ada yang merakamkan foto bersamanya," kata Ariff yang turut serta dalam misi tersebut.

Sementara itu, Dr Asri ketika menghubungi mStar Online berkata beliau pernah melakukan misi dakwah yang sama sebelum ini.

"Sebelum ini, saya pernah pergi ke beberapa tempat termasuk ke utara Thailand ke perkampungan masyarakat yang tidak ada agama. Saya cuba melakukan misi yang sama.

"Tetapi selepas jadi mufti, saya agak sibuk dengan berbagai urusan, jadi sudah lama saya tidak turun menyertai misi dakwah.

"Namun semasa menjadi mufti, saya ada buat misi dakwah secara tidak rasmi dengan berkunjung ke tempat pengajian tinggi berjumpa dengan anak-anak muda. Tapi misi dakwah semalam agak tersusun," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang menyambut hari lahirnya yang ke 39 hari ini.

Tambah Dr Asri lagi, "Kami hanya berjumpa dan bertanya khabar dengan anak-anak muda semalam. Kami tidak menganggu mereka, sekadar bertanya khabar dan minta agar mereka sudi membaca risalah yang kami edarkan."

"Saya berharap misi ini akan berterusan dan sekali sekala saya akan turun untuk beri semangat," kata Dr Asri yang pernah mengundang kontroversi apabila menyuarakan hasrat untuk berdakwah di pusat hiburan dan kelab malam sekitar Selangor.

Dr Asri melahirkan rasa gembira kerana misi dakwah semalam dianggap berjaya kerana maklum balas yang diterima, rata-ratanya positif.

"Ini menunjukkan tidak wujud jurang di antara aktivis agama dengan para pemuda selagimana orang-orang agama tidak keberatan atau malu untuk turun ke medan dakwah dan mendekati mereka," kata tokoh agama yang agresif dengan idea tajdidnya.

Misi dakwah itu berakhir pada jam 2.00 pagi dan diteruskan dengan solat sunat gerhana yang dilakukan di Institut al-Qayyim.

Dr Asri dijangka akan meneruskan usaha misi dakwahnya di Lembah Kelang bersama aktres Erma Fatima dan beberapa aktivis lain pada 5 Januari ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain