suria

Syarat Kemasukan Ke IPTA Dikaji Kerana Tuntutan Pasaran Kerja - Saifuddin

KUNDASANG: Sistem pengiraan merit untuk menjurus kepada 70 peratus pencapaian akademik dan 30 peratus kokurikulum bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), adalah bagi menyelaraskan tuntutan pasaran kerja masa kini, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Namun, syarat kemasukan baru itu masih dalam peringkat kajian, katanya. Beliau berkata pemilihan ke IPTA bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini masih lagi kekal 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

"Apabila sudah berada di universiti pula, penuntut perlu mencapai 70 peratus markah akademik dan 30 peratus markah kokurikulum.

"Bila keluar dari universiti, perkara pertama yang biasanya ditanya pihak majikan ialah pengalaman serta kemahiran, bukan kelayakan akademik walaupun mempunyai kelas pertama.

"Jadi (syarat kemasukan itu dikaji) kerana tuntutan pasaran kerja masa kini yang mahukan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum," kata Saifuddin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 di Taman Negara Kinabalu dekat sini, hari ini.

Beliau menyeru semua 152 persatuan mahasiswa seluruh negara, supaya proaktif dalam penganjuran aktiviti mereka, sebagai langkah meningkatkan pencapaian dalam bidang kokurikulum.

Kelmarin Kementerian tersebut mengeluarkan kenyataan yang ia akan mengekalkan kaedah pengiraan markah 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum bagi kemasukan ke IPTA untuk sesi 2010/2011. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain