suria

Seorang Terbunuh, Seorang Cedera parah Ditetak Dengan Parang

IPOH: Seorang terbunuh manakala seorang lagi cedera parah selepas diserang dan ditetak dengan parang oleh sekumpulan tiga lelaki di sebuah rumah di Taman Mas, Falim di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata mangsa yang terbunuh B.Shangar, 36, bekerja sebagai ejen pencari kerja warga asing dan berasal dari Taman Mas, Menglembu manakala yang cedera parah N. Chandran Mohan, 33, bekerja di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan berasal dari Taman Desa Aman, disini.

Shangar yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat manakala Chandran yang juga cedera parah di kepala dirawat di hospital berkenaan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata kejadian berlaku pada pukul 9.15 malam apabila kedua-dua mangsa bersama isteri masing-masing dan dua lagi saudara mereka yang berada di rumah tersebut didatangi oleh tiga lelaki yang memakai topeng serta bersenjatakan parang.

Difahamkan Chandran dan isterinya baru berpindah ke rumah sewa tersebut dan dibantu oleh Shangar dan isteri serta dua lagi saudara mereka.

Sebelum kejadian kedua-dua mangsa telah bertengkar dengan penyerang terbabit sebelum mereka ditetak dengan parang, katanya.

Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan dengan menunggang dua buah motosikal. Azisman berkata punca kejadian dipercayai dendam kerana tiada unsur samun berikutan tiada barang berharga dirompak.

Kes tersebut disiasat d ibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain