suria

Felda Holdings Nafi Salah Guna Kuasa Dalam Penganugerahan Kontrak

KUALA LUMPUR: Felda Holdings Bhd telah menafikan tuduhan oleh 1Malaysia Graduates Youth Club tentang penyalahgunaan kuasa dalam penganugerahan kontrak oleh anak syarikatnya.

"Felda Holdings ingin menyatakan bahawa ia mempunyai prosedur pemerolehan dan proses audit yang kukuh.

"Tiada penyalahgunaan kuasa mengenai kontrak yang diberikan seperti yang dikatakan," katanya dalam satu kenyataan.

1Malaysia Graduates Youth Club berkata dalam satu memorandum 50 muka surat yang dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Perdana Menteri pada Isnin, bahawa empat ahli Lembaga Pengarah Felda Holdings telah menyalahgunakan kuasa mereka.

Setiausaha agungnya, Ezaruddin Abd Rahman, juga menggesa satu penyiasatan diadakan untuk memastikan samada anak syarikat Felda Holdings boleh memberikan tender bernilai RM160 juta kepada satu kontraktor tunggal menerusi rundingan terus.

Beliau dilaporkan berkata rundingan terus adalah bertentangan dengan tatacara tender Felda yang menyatakan tender terbuka harus ditawarkan untuk kontrak melebihi RM50,000.

"Oleh kerana perkara ini telah dilaporkan kepada SPRM, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada apa-apa penyiasatan supaya orangramai mengetahui perkara sebenar" kata Felda Holdings. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain