Dua Pelajar Swasta Dan Warga Nigeria Didakwa Culik Wanita Filipina - Semasa | mStar

Dua Pelajar Swasta Dan Warga Nigeria Didakwa Culik Wanita Filipina

PETALING JAYA: Tiga pelajar kolej swasta termasuk seorang warga Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, terhadap tuduhan menculik seorang wanita Filipina bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak AS$20,000 (RM68,490), dua minggu lalu.

Oparaugo Uchenna Samuel, 27, Nurul Atika Baharuddin, 20, dan Khairun Azhan Mohamed, 24, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, menculik dan menahan secara salah pekerja kilang elektronik, Sophia De Jesus Kobayashi, 44, bagi mendapatkan wang tebusan itu.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohamad Ghulam.

Majistret Mohamad Ibrahim juga menolak permohonan peguam bela Abi Dzarr Ab Karim yang memohon ikat jamin ke atas tertuduh dan beliau menetapkan 24 Jan depan untuk sebutan semula kes itu untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No E-12-65, Blok E Mentari Court, Jalan PJS 8/9 Taman Sri Mentari di sini, antara pukul 5.20 petang, 12 Disember 2009 dan pukul 9.50 pagi, 17 Disember 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1965 (Akta 365) yang mana jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau sebatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Cadangan SPR Dapat Reaksi Berbeza

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain