suria

Waktu Operasi Komuter Dilanjutkan Sempena Tahun Baru

KUALA LUMPUR: KTM Berhad akan melanjutkan waktu perkhidmatan komuternya sehingga awal pagi 1 Januari sempena sambutan Tahun Baru 2010.

Dalam kenyataan hari ini, KTM berkata lanjutan waktu operasi itu melibatkan 27 perkhidmatan tren tambahan, masing-masing bagi laluan ulang alik Seremban-Rawang dan Sentul-Pelabuhan Klang dengan kekerapan setiap 20 hingga 30 minit.

Bagi laluan Seremban-Rawang, tren tambahan terakhir bertolak pada pukul 12.10 pagi, Rawang ke Seremban (12.55 pagi), Sentul ke Pelabuhan Klang (2.30 pagi) dan Pelabuhan Klang ke Sentul pada pukul 11.56 malam.

Perkhidmatan komuter terakhir bagi laluan Sentral Kuala Lumpur ke Rawang ialah pada pukul 1.56 pagi manakala dari Sentral Kuala Lumpur ke Seremban ialah pada pukul 2.04 pagi.

Perkhidmatan terakhir dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang ialah pada pukul 2.11 pagi dan dari Sentral Kuala Lumpur ke Sentul akan berakhir pada pukul 2.03 pagi.

Pengguna KTM Komuter pada malam itu dinasihatkan membeli tiket perjalanan ulang alik bagi mengelak kesesakan di kaunter jualan.

Sempena sambutan Tahun Baru, KTM Berhad akan mengedarkan 10,000 unit cenderahati kepada pengguna di tiga stesen utama iaitu Sentral Kuala Lumpur, Mid Valley dan stesen Kuala Lumpur pada 31 Disember ini.

Bagi stesen lain, KTM Berhad akan mengedarkan kalender poket dan penanda buku.

Pengguna boleh menghubungi pusat panggilan KTM Berhad di talian 1300-88-5862 atau stesen komuter berdekatan untuk mengetahui waktu operasi sempena sambutan Tahun Baru ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain