suria

Tiga Lelaki Disyaki Terbabit Kes Tetak Ditahan

KUANTAN: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun dan tetak seorang peniaga di sebuah rumah di Lorong Galing 34, Jalan Haji Ahmad di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Asisten Supritendan T.Narenasagaran berkata, polis menerima laporan daripada peniaga berumur 49 tahun itu pada kira-kira pukul 2 pagi semalam, yang mengadu beliau dicederakan dan cuba disamun dua lelaki berumur 22 dan 28 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang berasal dari Johor Baharu yang dipercayai pernah kalah judi dengan peniaga itu di sebuah pusat hiburan di sini sebelum kejadian.

"Polis kemudiannya menahan dua lagi lelaki yang berasal dari Selangor yang dipercayai diupah oleh suspek pertama untuk menetak peniaga itu dengan sebilah parang," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Katanya, peniaga itu hanya hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian badannya akibat kejadian dan ketiga-tiga suspek sedang disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Narenasagaran berkata, 80 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Jenayah Narkotik, Jenayah Komersial serta Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang akan mengawasi semua pusat hiburan dan tempat awam di sini pada malam Tahun Baru ini, bagi memastikan pusat-pusat hiburan hanya beroperasi pada waktu yang dibenarkan, selain tiada kejadian buruk berlaku pada malam sambutan tahun baru. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain