suria

Polis Akan Tunda Kenderaan Halang Lalu Lintas Semasa Sambutan Tahun Baru

KUALA LUMPUR: Polis akan menunda kenderaan yang diletakkan di bahu jalan dan yang menghalang lalu lintas pada malam sambutan ambang tahun baru di sekitar ibu negara.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Rusli Mohd Noor berkata tindakan itu diambil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sempena sambutan ambang tahun baru.

"Orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta yang telah di sediakan dan diminta mematuhi segala peraturan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi pengunjung di Dataran Merdeka, kawasan letak kenderaan yang disediakan ialah di Kompleks Daya Bumi, Masjid Negara, Parking Tang Ling, Padang Merbok dan Bukit Aman manakala pengguna motosikal boleh meletakkan kenderaan mereka di kaki lima Jalan Sultan Salahuddin di hadapan Jabatan Kerja Raya.

"Pengunjung di kawasan KLCC (Kuala Lumpur City Centre) dan Bukit Bintang pula boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan letak kereta yang telah tersedia seperti di Pusat Beli-belah Suria KLCC dan Pavilion di Bukit Bintang," katanya.

Rusli berkata selain itu polis juga akan mengadakan operasi cegah lumba haram dan samseng jalan raya di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti di sekitar ibu negara selepas selesai acara sambutan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan di pusat bandar raya dan tidak bertindak di luar kawalan semasa acara sambutan yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung lain.

"Seperti tahun-tahun lepas ada di antara pengunjung yang menggunakan penyembur putih untuk menyembur pada kenderaan atau pengunjung lain yang boleh mencetuskan pergaduhan.

"Jika berlaku pergaduhan atau tindakan di luar kawalan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka," tegasnya.

Beliau berkata seramai 230 anggota trafik akan bertugas pada malam tersebut bagi mengawal lalu lintas dan sepasukan penguatkuasa bahagian cegah lumba haram juga akan ditempatkan di sekitar ibu negara.

Rusli berkata beberapa batang jalan di sekitar kawasan Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang akan ditutup kepada semua kenderaan bermula pukul 7 malam esok sempena acara sambutan itu.

"Bagi kawasan Dataran Merdeka, jalan yang akan ditutup bermula dari lampu isyarat Jalan Hishammuddin/ Jalan Raja sehingga lampu isyarat Jalan Raja/ Jalan Tunku Abdul Rahman bermula pukul 7 malam esok sehingga selesai acara," katanya.

Manakala kawasan Bukit Bintang pula, jalan yang akan ditutup kepada semua kenderaan bermula dari lampu isyarat Jalan Imbi/ Jalan Sultan Ismail menghala ke lampu isyarat Jalan Sultan Ismail/ Jalan Bukit Bintang bermula pukul 12.01 pagi esok sehingga pukul 6 pagi 1 Jan 2010.

Bagi jalan-jalan berhampiran kawasan KLCC pula akan ditutup secara berperingkat-peringkat bermula pukul 7 malam esok sehingga selesai acara sambutan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain