suria

Permohonan Wanita Myanmar Untuk Dibebaskan Kerana Anjur Pelacuran Ditolak

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Myanmar yang terlibat dengan kegiatan penganjuran pelacuran gagal mendapatkan perintah pembebasan penahanannya setelah Mahkamah Tinggi mendapati perintah tahanannya selama dua tahun dibuat dengan betul.

Ketika menolak permohonan habeas corpus wanita bernama Ra Himah itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Abdul Aziz berkata, perintah tahanannya pada Disember tahun lepas dibuat secara sah dan teratur oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Mahkamah mendapati tiada apa-apa yang mencacatkan perintah itu kerana Timbalan Menteri telah melihat dan mengambil kira keseluruhan fakta dalam laporan sebelum menandatangani perintah tersebut," kata Zainal Azman dalam keputusannya.

Pada 12 Disember tahun lepas, Wan Ahmad Farid selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri telah mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 supaya Ra Himah ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak di Batu Gajah, Perak.

Penahanan itu dibuat dengan alasan Ra Himah merupakan ahli sindiket penganjuran kegiatan pelacuran yang telah memudaratkan ketenteraman awam dan melakukan jenayah berunsur kekerasan.

Menurut alasan Timbalan Menteri itu lagi, Ra Himah dikatakan telah menjalankan kegiatan pelacuran itu sejak 1994 di sekitar kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang, membabitkan beberapa wanita tempatan dan warga Thailand, selain didakwa melakukan kekerasan terhadap wanita-wanita itu supaya melacur.

Ra Himah, melalui peguamnya Karpal Singh, telah memfailkan permohonan habeas corpus terhadap Wan Ahmad Farid dan Penguasa Pusat Pemulihan Akhlak berkenaan, bagi mendapatkan pembebasannya dengan alasan perintah penahanannya telah dibuat secara tidak sah.

Di luar mahkamah, Karpal Singh memberitahu pemberita bahawa beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Zafran Zafri mewakili kedua-dua responden. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain