suria

Perangkap Harimau Dipasang Di Kampung Pelangi

KANGAR: Dua perangkap harimau dipasang di kawasan belukar di Kampung Pelangi, Kuala Perlis hari ini berikutan aduan penduduk mengenai kehadiran seekor harimau kumbang di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perlis, Rizal Hamid berkata, kedua perangkap itu diletakkan pada jarak 50 meter di kawasan yang dipercayai sebagai laluan binatang buas itu.

"Salah satu perangkap berumpankan seekor anak kambing manakala satu lagi perangkap berumpankan daging," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, Perhilitan telah mengesan tapak kaki binatang itu di kawasan semak berhampiran Sungai Perlis selepas menerima aduan para penduduk.

Ahad lalu, penduduk Kampung Pelangi yang terletak di pinggir Bukit Kubu dan Sungai Perlis gempar dengan kehadiran seekor harimau kumbang bersaiz seekor anjing dewasa di kampung itu.

Kehadirannya disedari para penduduk setelah mendengar bunyi bising sekumpulan anjing liar yang turut berada di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Perlis, Mat bin Hassan berkata, kewujudan binatang buas di kawasan itu bukan perkara baru tetapi ia tidak pernah mencederakan manusia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain