suria

Kerosakan Akibat Banjir Di Kelantan Sedang Dinilai

PASIR PUTEH: Agensi-agensi kerajaan persekutuan di Kelantan sedang giat melancarkan gerakan bagi menilai kerosakan disebabkan banjir besar yang melanda negeri itu empat kali tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Che Osman Che Mat berkata, antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pertanian dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Ia antara lain membabitkan siasatan mengenai jambatan roboh, jalan kampung yang berlubang dan tanaman yang musnah terutama di jajahan-jajahan yang dilanda banjir seperti Pasir Mas, Rantau Panjang, Machang, Tumpat, Kota Baharu dan Pasir Puteh," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian semasa mengulas tindakan lebih 40 penduduk kampung Padang Pak Amat di sini baru-baru ini yang mengadakan demonstrasi aman memohon kerajaan supaya turut bertanggung jawab membaik pulih jalan-jalan kampung mereka yang rosak teruk disebabkan banjir berkenaan.

Che Osman berkata, jumlah sebenar kerosakan dan lokasinya akan diketahui dalam tempoh terdekat dan ia dijangka akan dapat diselesaikan antara bulan Januari dan Mac ini.

"Kami sedar kerosakan itu menyusahkan kehidupan penduduk, seperti kesukaran membawa hasil-hasil tanaman untuk dipasarkan ke bandar-bandar di samping menyukarkan anak-anak ke sekolah mulai Januari ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain