suria

KATAPAW II

GEMBIRA ... Pasukan Skuad Piala Emas Raja-Raja Negeri Perlis gembira setelah berjaya menewaskan Kedah dengan jaringan gol 2-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar, pada 28 Disember 2009. -Foto BERNAMA
GEMBIRA ... Pasukan Skuad Piala Emas Raja-Raja Negeri Perlis gembira setelah berjaya menewaskan Kedah dengan jaringan gol 2-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar, pada 28 Disember 2009. -Foto BERNAMA
GEMBIRA ... Pasukan Skuad Piala Emas Raja-Raja Negeri Perlis gembira setelah berjaya menewaskan Kedah dengan jaringan gol 2-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar, pada 28 Disember 2009. -Foto BERNAMA

SAYA hampir tidak mahu mempercayai bahawa saya terpaksa melihat insiden yang sama berulang kembali selepas lebih kurang sebulan saya menulis mengenainya. Malangnya ini benar-benar berlaku.

Ketika saya menulis mengenai insiden rusuhan bolasepak pada perlawanan akhir Piala Malaysia beberapa ketika dahulu, saya berharap insiden serupa itu tidak akan berlaku lagi dan pencinta bolasepak akan mengambil iktibar. Saya silap.

Malam kelmarin, insiden yang hampir serupa berulang kembali dan kali ini di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah yang menjadi hos kepada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja.

Dan hari ini, e-mail saya dipenuhi dengan beratus kiriman yang memberi komen dan reaksi kepada apa yang telah berlaku di Stadium Darulaman.

Dalam banyak-banyak kiriman e-mail itu, saya telah terbaca satu kiriman daripada seorang penonton yang menceritakan betapa anak perempuannya menjerit ketakutan sebaik sahaja kejadian rusuhan penonton ke atas padang berlaku.

Ini kerana aksi-aksi hooligan (budak jahat/nakal/buas) itu berlaku di sebelah tempat duduk di mana si bapa dan anak perempuannya ini berada.

“Cukuplah! Tolonglah...kami datang nak tengok bola bersama keluarga bukan nak tengok orang baling botol dan air ke tengah padang dan merusuh,” demikian kata Ahmad Long Suffian yang bertandang ke stadium itu bersama dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuannya yang berusia 12 tahun.

Ahmad berkata, tidak mungkin dia akan membawa anak perempuannya ke stadium lagi untuk menonton bola kerana “budak-budak buas ini telah merompak keseronokan kami anak beranak.”

Hakikatnya, orang mengambil mudah akan insiden-insiden seperti ini.

Pihak yang mentadbir bolasepak wajib memikirkan hak penonton yang datang ke stadium kerana kecintaan mereka terhadap sukan bolasepak tetapi terpaksa menjadi mangsa kepada hooligan bolasepak ini.

Dalam hal ini, YB Datuk Mahfuz Omar telah memberi komen yang wajar dalam blognya (http://gemasuara.blogspot.com) berkaitan insiden tersebut.

Katanya; “Walaupun dicemari dengan sedikit insiden tetapi saya melihat secara positif bahawa penonton mahukan satu permainan yang bersih dan bertolak dari mutu pengadilan yang tinggi. Apa yang penting selepas ini semua pihak tidak lagi boleh memperkecilkan pertandingan Piala Emas Raja-Raja.

“Mutu pengadilan mesti diperbaiki,keselamatan perlu ditingkatkan dan pihak polis hanya datang dengan kekuatan yang kecil berbanding jumlah penonton.

"Mereka sepatutnya berada disetiap sudut didalam stadium tetapi mereka hanya masuk bila insiden berlaku sedangkan semasa final Piala Malaysia di Bukit Jalil antara Kelantan dan Negeri Sembilan, polis sedia berada di dalam stadium dari awal dengan kekuatan anggota yang munasabah. Ini mungkin polis mempunyai tanggapan bahawa Piala Emas masih di peringkat yang rendah."

Tetapi saudara Mahfuz, ini bukan soalan tanggapan piala ini berada di peringkat yang rendah atau tinggi tetapi ini adalah soal keselamatan dan juga tanggungjawab kita terhadap mereka yang datang ke stadium membawa anak-anak dan juga isteri masing-masing.

Saya sangat-sangat berharap, Saudara Mahfuz sebagai seorang peminat bolasepak dan juga seorang ahli parlimen dapat membawa perkara ini sekali lagi ke dalam Dewan Rakyat apabila sidang penggal pertama bagi tahun 2010 bermula Mac tahun hadapan.

Pada masa yang sama, saya juga berharap jawatankuasa kecil keselamatan pertandingan dalam FAM dapat melihat insiden-insiden seperti ini secara serius. Saya tak akan kata jika ia tidak berulang. Tetapi ia terus berulang dan berulang dan saya benci untuk terpaksa melihat bagaimana botol air tiba-tiba zaaaaaaaaaaaaz melayang lalu katapaaaaaw di belakang kepala pemain.

Artikel Terdahulu: “KATAPAW...”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain