suria

E-Mel Bom Palsu Di Carrefour Seksyen 5 Wangsa Maju

KUALA LUMPUR: Ancaman bom di pasar raya Carrefour di Seksyen 5, Wangsa Maju, di sini, pagi ini adalah palsu selepas polis tidak menemui sebarang bahan letupan di tempat tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata unit pengesan bom mendapati tiada objek yang mencurigakan ditemui di lokasi berkenaan.

"Siasatan mengesan bom itu bermula dari pukul 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari dan unit pengesan bom tidak menemui sebarang objek di situ," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Ibu pejabat pasar raya Carefour di Sri Petaling menerima e-mel mendakwa ada beberapa butir bom dipasang di pasar raya Carefour, cawangan Seksyen 5 Wangsa Maju, pada pukul 9 pagi.

Zakaria berkata alamat e-mel dikesan dari kawasan sekitar Subang Jaya dan polis masih meneruskan siasatan pengirim e-mel berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain