Pemandu Bas Sani Express Mengaku Tidak Bersalah Pandu Melulu - Semasa | mStar

Pemandu Bas Sani Express Mengaku Tidak Bersalah Pandu Melulu

IPOH: Seorang pemandu bas Sani Express hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Trafik di sini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang di Kilometer 280.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, Sabtu lalu.

Mohd Kamil Mohd Rashid, 37, beralamat di nombor 83, Taman Setia Jaya, Yan, Kedah, yang memandu bas dua tingkat dengan nombor pendaftaran WSX 5010, didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira pukul 1.23 pagi, 26 Disember lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu itu, pada pukul 11.30 pagi tadi, polis mendapat perintah melanjutkan tempoh reman sehingga Khamis ini.

Bagaimanapun, pada pukul 1 tengah hari, pihak media dimaklumkan bahawa tertuduh akan didakwa pada 2.30 petang hari ini.

Mohd Kamil, yang memakai kemeja syarikat bas berwarna merah dan berseluar gelap, tiba di mahkamah pada 2.10 petang. Beliau kelihatan tenang apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya dan memohon kepada mahkamah untuk dibicarakan.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Feb depan sebagai tarikh perbicaraan.

"Ini adalah berdasarkan kepentingan awam dan lain-lain faktor. Lesen memandu tertuduh juga dirampas serta merta sehingga kes selesai," katanya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izalina Rajaai memohon ikat jamin RM15,000 berdasarkan faktor kepentingan awam dan lesen memandu tertuduh digantung.

Peguam tertuduh, S. Arumugam dan Khairun Niza Husnin, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu dengan alasan anak guamnya tidak pernah melakukan kesalahan trafik dan mempunyai enam orang tanggungan iaitu ibu bapa, seorang isteri dan tiga anak kecil berusia antara enam bulan dan sembilan tahun.

Mohd Kamil kemudian dibebaskan kira-kira 5 petang tadi apabila dua wakil syarikat berkenaan membayar wang jaminan tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain