suria

KPDNKK Rampas DVD Cetak Rompak Bernilai RM120,000

KUALA LUMPUR: Sejumlah 15,000 keping cakera video digital (DVD) filem cetak rompak bernilai RM120,000 dirampas dalam satu serbuan di sebuah bangunan rumah kedai di Jalan PJU 5/15, Kota Damansara hari ini.

Ketua Unit Pasukan Petugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Putrajaya Kadir Jailani berkata seramai lima lelaki termasuk remaja bawah umur ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang itu.

"Kita menahan empat lelaki berumur lingkungan 20-an dan seorang remaja lelaki berumur 16 tahun.

"Ketika serbuan empat daripada suspek sedang melakukan kerja-kerja menyusun DVD itu manakala remaja itu pula ditahan di dalam sebuah van yang turut memuatkan 5,000 keping DVD," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam bilik premis itu pihaknya menemui 10,000 keping DVD filem pelbagai tajuk termasuk filem lucah.

"Kita percaya premis ini digunakan sebagai stor untuk menyimpan kesemua DVD haram ini sebelum ia dipasarkan di sekitar Damansara.

"Siasatan awal juga mendapati ada anggota kumpulan ini yang dijadikan "runner" bagi mengedarkan DVD terbabit ke kedai-kedai berhampiran," katanya.

Menurutnya serbuan dilakukan oleh 15 anggota dan pegawai kementerian hasil risikan dan maklumat orang awam.

Katanya kesemua suspek itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain