suria

Gaji Rendah, Pemandu Letih Punca Kemalangan

PETALING JAYA: Mereka bergaji rendah, tidak terlatih dan bekerja terlalu teruk. Dan mereka berada dalam kelas paling bawah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.

Ketika pemandu lori dan trak boleh membawa pulang RM4,000 dan RM5,000 sebulan, pemandu-pemandu bas yang tidak berpersatuan cuma memperolehi gaji bulanan serendah RM500.

Ekoran itu, mereka bekerja lebih masa dan memandu lebih banyak trip. Ini bermakna mereka mengabaikan masa tidur mereka.

Ramai berpendapat kekurangan tidur merupakan punca sebenar kemalangan maut bas ekpres kerap berlaku.

Tinjauan dengan organisasi dan kesatuan sekerja mendapati pemandu bas adalah mereka yang bergaji paling rendah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.

Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA) dan Kesatuan Sekerja Pengangkutan (TWU) berkata, pendapatan purata untuk pemandu yang berpengalaman selama lima tahun adalah antara RM2,000 dan RM3,000 termasuk elaun. Pemandu lori dibayar lebih.

Gaji rendah itu cenderung memaksa pemandu-pemandu bas untuk bekerja lebih masa daripada yang sepatutnya.

Malah sesetengahnya mengambil dadah untuk mengelakkan diri daripada mengantuk.

Setiausaha Agung TWU, Datuk Zainal Rampak percaya terdapat kira-kira 2,000 pemandu yang tidak berpersatuan berbanding lebih 4,000 pemandu yang berpersatuan.

"Rekod-rekod menunjukkan kebanyakan kemalangan yang berlaku melibatkan pemandu-pemandu yang tidak berpersatuan," katanya.

Zainal mendedahkan para pekerja Sani Express Sdn Bhd adalah tidak berpersatuan.

Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna pemandu Sani Express dibayar sedikit.

Tambahnya, punca lain berlakunya kemalangan ialah kekurangan latihan untuk para pemandu.

Zainal berkata, kerajaan perlu memantau secara serius latihan, pengalaman dan kecergasan fizikal pemandu bas ekspres sebelum mereka dibenarkan memandu perjalanan yang jauh.

"Sesetengah pemandu yang baru menerima lesen memandu kenderaan perdagangan telah diarahkan memandu jarak jauh serta-merta," katanya.

Pada 26 Disember lalu, bas dua tingkat Sani Express Sdn Bhd yang sedang dalam perjalanan ke Kangar dari Klang, Selangor terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, seramai 10 penumpang maut dan dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali berkata, pemandu bas adalah "dibayar dengan lumayan", dan bersetuju mereka wajar diberi latihan.

Menurutnya, kerajaan boleh menyediakan pinjaman untuk menyediakan latihan pemanduan kenderaan perdagangan.

Pinjaman itu adalah seperti yang disediakan untuk graduan yang menganggur.

"Memandu bas atau lori adalah satu kemahiran. Ia seperti belajar menggunakan sebuah komputer," katanya.

Ashfar berkata, mengikut amalan industri buat masa ini, pemandu baru dikehendaki memandu untuk jarak pendek bagi suatu tempoh masa sebelum dibenarkan memandu jarak jauh.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, pengusaha bas harus menjaga kebajikan pemandu-pemandu bas untuk mengelakkan kemalangan.

"Anda boleh mempunyai bas yang dilengkapi pengehad kelajuan dan Sistem Pengesanan Global (GPS) tetapi jika pemandu itu kurang berpengalaman, penggunaan alat-alat teknologi itu tidak membawa makna," katanya.

"Ini adalah soal keselamatan para penumpang," katanya.

Sekarang, tiada program latihan bersepadu untuk pemandu-pemandu kenderaan perdagangan kecuali ujian Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu kenderaan perdagangan.

Pada tahun 2005, cadangan pernah dibuat untuk mewajibkan pemandu-pemandu kenderaan perdagangan menjalani latihan di pusat-pusat latihan pemanduan swasta.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan kuat dan ia ditangguhkan selama-lamanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain