suria

Dua Warga Asing Ditahan Cuba Seludup Diesel Bersubsidi

KANGAR: Sebanyak 65 tong diesel yang cuba diseludup ke Thailand melalui jalan laut dirampas dalam operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Perlis malam tadi.

Ketua Penguatkuasa Maritim APMM Wilayah Utara, Laksamana Pertama Zulkifli Abu Bakar berkata, rampasan itu dilakukan pukul 9.20 malam di kira-kira 0.15 batu nautika dari pantai Kuala Perlis selepas mengejar bot itu selama lima minit yang sedang menghala ke perairan Thailand.

"Setelah menyedari kehadiran bot peronda APMM, bot yang tidak berdaftar itu memecut ke arah hutan bakau di pinggir pantai Kuala Perlis namun berjaya dipintas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, 65 tong mengandungi diesel bersubsidi yang dianggarkan sebanyak 1,300 liter dan dua lelaki rakyat asing berumur lingkungan 20-an ditahan.

"Kami akan serahkan kes itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda RM100,000 setiap seorang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Zulkifli berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki itu mengambil upah menyeludup diesel itu dengan setiap tong mereka dibayar sebanyak RM3.

Harga diesel di Thailand dijual pada harga RM2.80 seliter berbanding di Malaysia RM1.20 seliter.

Sementara itu, di Kuala Selangor, APMM Wilayah Selatan menahan dua bot nelayan di Perairan Sungai Buloh, Jeram di sini pada awal pagi semalam kerana melakukan kegiatan mencuri kerang dewasa.

Ketua Penguatkuasa Kuasa Daerah Maritim Pelabuhan Klang Wilayah Selatan, Kapten Maritim Mohamed Amir Hamzah berkata, dalam Operasi Satria Selatan itu, dua tekong dan dua awak-awak tempatan ditahan.

"Bot APMM berjaya memintas bot nelayan berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan dan apabila diperiksa kita dapati tekong tidak memiliki lesen bot dan lesen bagi menangkap kerang dewasa dari Jabatan Perikanan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain