suria

Polis Temui Ganja Seberat 10.6kg

JOHOR BAHARU: Polis menemui 11 ketulan mampat ganja seberat 10.6 kilogram dari sebuah rumah didiami sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun di Kampung Majidee di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaakob berkata serbuan pada 6.25 petang ke atas rumah pasangan terbabit itu turut menemui empat paket dadah syabu seberat 178 gram dan wang tunai sebanyak RM7,200.

"Polis kini menahan pasangan suami isteri berumur 28 dan 22 tahun itu kerana disyaki mengedar dadah jenis ganja dan syabu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan pihak polis mendapati lelaki itu yang merupakan seorang kakitangan kerajaan bukan sahaja positif dadah syabu tetapi turut mempunyai empat rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya.

Zainuddin berkata lelaki itu dipercayai mula terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah sejak dua tahun lepas, manakala pembabitan isterinya dalam kegiatan yang sama masih disiasat.

Pasangan suami isteri terbabit yang kini ditahan reman sehingga 30 Disember ini, katanya akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengenai anak pasangan terbabit, beliau berkata budak lelaki itu kini dipelihara oleh datuknya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain