suria

Pencuri Komputer Nekad Terjun Dari Tingkat Tiga Bangunan Sekolah

KUANTAN: Seorang lelaki bertindak nekad terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah dekat sini untuk melarikan diri selepas cuba mencuri komputer semalam.

Bagaimanapun suspek berusia 35 tahun itu tidak cedera tetapi berjaya diberkas seorang pengawal keselamatan sekolah berkenaan.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt Nordin Mustapha, pada kejadian 6.40 pagi itu, pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Pandan menemui sebuah komputer di bahagian bawah bangunan sekolah itu.

"Pengawal keselamatan berusia 21 tahun itu juga mendapati ada tiga utas tali yang berjuntai dari tingkat tiga. Dia kemudiannya berlari ke tingkat atas dan melihat suspek bersama dua buah lagi komputer yang telah dibalut dengan kain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Suspek yang panik melihat pengawal keselamatan itu kemudiannya bertindak nekad terjun ke bawah.

"Suspek bagaimanapun tidak cedera. Selepas terjun, dia cuma terduduk seketika, sebelum pengawal keselamatan itu menahannya," kata Nordin.

Mengikut siasatan awal, suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah dan satu rekod jenayah mencuri. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain