Pemegang Kad Kredit Bakal Mula Bayar Cukai Perkhidmatan - Semasa | mStar

Pemegang Kad Kredit Bakal Mula Bayar Cukai Perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Pemegang kad kredit boleh menjangka melihat jumlah cukai perkhidmatan yang patut dibayar dalam penyata mereka secara berasingan, yang mana dikenakan cukai semasa pengeluaran, pada tempoh genap setahunnya, atau semasa diperbaharui.

Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) hari ini berkata, sekiranya kad kredit baharu dikeluarkan tahun depan sah bagi satu tahun, cukai perkhidmatan RM50 akan dikenakan pada tarikh ia dikeluarkan.

Bagaimanapun, jika kad baharu dikeluarkan bagi tempoh lima tahun, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada tarikh pengeluaran dan setiap tarikh genap setahun berikutnya.

Bagi kad sedia ada yang sah untuk lima tahun, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada tarikh genap setahun pengeluaran bermula 2010.

Ini kerana cukai perkhidmatan RM50 yang akan dikenakan bagi setiap kad utama dan RM25 ke atas setiap kad tambahan hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2010.

Persatuan itu berkata, cukai perkhidmatan tersebut tidak terpakai bagi kad-kad lain termasuk kad debit, kad petrol, kad caj, kad kesetiaan dan e-wang seperti "Touch n' Go". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Ulat tiket: Jangan beli!