suria

Maut Ketika Elak Langgar Kucing

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera parah apabila motosikal yang mereka naiki terbabas lalu dirempuh sebuah van ketika mereka cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang sedang melintas jalan.

Kejadian itu berlaku pada 4.53 petang semalam di Jalan Temerloh-Bahau berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak dekat Bera.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Abdullah Mohamed Hashim, 19, manakala rakannya yang cedera Ahmad Nor Hussin, 27. Kedua-duanya dari Felda Sungai Kemahal, Triang.

Menurut Ketua Turus Trafik dan Jabatan Ketenteraman Awam Pahang, Supt Mohd Fauzi Abdul Rahim, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Jengka menuju ke Sepang, Selangor.

"Mohamad Abdullah hilang kawalan dan terbabas selepas mengelak seekor kucing yang tiba-tiba melintas jalan. "Menurut saksi, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah van dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pemandu van berkenaan diminta segera tampail membuat laporan polis, katanya.

"Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di talian 09-2558222 bagi membantu siasatan," kata Mohd Fauzi.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bera untuk dibedah siasat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain