suria

Lelaki Perdaya Pekebun Ditangkap

TAWAU: Polis menganggap kes memperdayakan pekebun di sini telah selesai apabila tertangkapnya seorang lelaki berusia 20-an awal pagi kelmarin.

"Sebaik menerima aduan dari salah seorang mangsa, polis melancarkan operasi dan berjaya memberkas lelaki itu sekitar pukul 2.30 pagi kelmarin di bandar ini, " kata Ketua Polis Tawau, ACP Ibrahim Chin.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas menerima kunci pondok polis sumbangan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Tawau di sini, hari ini.

Sabtu lepas, seorang pekebun membuat laporan polis berkaitan aktiviti lelaki terbabit yang memperdayakannya, di mana setelah menerima wang sebanyak RM3,000 lelaki itu terus menghilangkan diri.

Lelaki itu kononnya memaklumkan kepada pekebun terbabit yang dia mempunyai 700 kampit baja dan berhasrat untuk menjualnya dengan harga yang murah.

Bernama difahamkan lelaki itu akan mendekati orang-orang tertentu yang mempunyai kebun untuk menawarkan baja dengan harga RM30 sekampit.

Seorang ahli perniagaan Bacho Kada yang hampir menjadi mangsa, memberitahu Bernama lelaki tersebut menghubunginya sekitar pukul 11 pagi Sabtu lalu, dan berjanji untuk menemuinya di satu tempat pada pukul 3 petang untuk membincangkan tentang penjualan baja.

"Saya pun bersetuju untuk menemui. Saya tunggu hampir pukul 4 petang, tetapi lelaki itu tidak muncul-muncul," kata beliau.

Menurut Bacho, lelaki itu pergi ke rumahnya menaiki sebuah teksi, dan hanya sempat bercakap dengan anaknya, sebelum menghubungnya melalui telefon dan membuat temu janji.

Bacho meluahkan rasa hairan kerana lelaki itu telah mengetahui latar belakangnya ketika berbual menerusi telefon.

Orang ramai terutama pekebun diingatkan supaya berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan sesuatu barangan yang harganya tidak munasabah atau murah, kata Ibrahim.

Lelaki itu di tahan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain