suria

Kes Rasuah Norza: Mohd Taupik Beri Pengakuan Secara Sukarela

TEMERLOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Mohd Taupik Hussain, saksi kedua pendakwaan dalam kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya Halimi Kamaruzzaman, memberi kenyataan secara sukarela ketika siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong Penguasa SPRM Pahang, Baharuddin Haron yang merupakan saksi pendakwaan keempat berkata, beliau telah merakam percakapan Mohd Taupik pada 22 April lepas sebelum kontraktor terbabit menyatakan ingin mengekalkan kenyataan yang diberikannya ketika rakaman percakapan pertama pada 21 Januari lepas.

Katanya, Mohd Taupik yang sebelum ini mendakwa didera oleh pegawai penyiasat SPRM menyatakan persetujuan mengekalkan kenyataan itu selepas beberapa kali ditanya beliau.

Bagaimanapun dalam sesi soal balas, peguam Halimi, Jahaberdeen Mohd Yunoos berkata terdapat perbezaan di dalam rakaman percakapan tersebut serta ketiadaan beberapa perenggan kenyataan berbanding kenyataan sebelum itu.

Namun, Baharuddin berkata kedua-dua rakaman percakapan tersebut masih mempunyai maksud yang sama.

Sementara itu, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza memberitahu mahkamah bahawa Baharuddin tidak mematuhi prosedur rakaman percakapan mengikut Akta SPRM.

Beliau berkata Baharuddin sepatutnya menggunapakai Seksyen 53 Akta SPRM terhadap Mohd Taupik kerana dia merupakan orang yang ditahan ketika itu sebaliknya Seksyen 30 akta sama yang digunapakai ketika rakaman percakapan itu adalah terhadap seorang saksi.

Baharuddin ketika ditanya sama ada beliau tidak mengambil tahu langsung mengenai penggunaan Seksyen tersebut ketika prosedur rakaman percakapan bersetuju dengan soalan itu. Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris yang menyoal balas Baharuddin kemudian bertanya sama ada kenyataan yang dilakukan pada akhir rakaman percakapan itu betul dan benar, Baharuddin menyatakan Mohd Taupik mengaku ia benar dan betul.

Baharuddin turut berkata beliau berpuas hati bahawa kenyataan Mohd Taupik dilakukan secara sukarela.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno Mac lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari lalu di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Perbicaraan bersambung esok. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain