suria

Kastam Peroleh 8 Bot Baru Bernilai RM90j Tahun Depan

KELANA JAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bakal memperoleh lapan bot baru bernilai RM90 juta untuk membantu operasi pencegahan aktiviti penyeludupan pada tahun depan.

Ketua Pengarah KDRM, Datuk Ibrahim Jaapar berkata, bot-bot tersebut termasuk empat bot jenis Perantas sepanjang 15 meter yang dianggarkan bernilai kira-kira RM50 juta.

"Empat bot lain yang panjangnya 13 meter sedang dibina di Terengganu dengan kosnya RM40 juta. Semuanya bernilai kira-kira RM90 juta," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Penguatkuasaan Kastam dan pelancaran buku "Compendium of Customs Legislations and Cases (1932-2009)" di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, kastam telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) yang bersedia memberikan 10 bot laju dan 14 alat pengimbas ringan bernilai RM20 juta pada tahun 2011.

Katanya bot itu akan membantu KDRM dalam membanteras penyeludupan dan operasi mencegah aktiviti-aktiviti haram di perairan negara ini.

Mac lepas, Jepun melalui Duta Besarnya ke Malaysia Masahiko Horie telah memberikan geran 992 juta yen (RM29.9 juta) kepada Malaysia untuk peningkatan keselamatan maritim bagi pengawasan samudera secara menyeluruh di Selat Melaka dan perairan wilayah Malaysia.

Daripada jumlah bantuan itu, kira-kira 714 juta yen (RM21.8 juta) akan diperuntukkan kepada KDRM manakala 278 juta yen (RM8.1 juta) lagi adalah untuk Polis Diraja Malaysia.

Sementara itu, Ibrahim memberitahu, jabatannya bercadang menambah kakitangan selaras dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bermula pertengahan 2011 nanti.

"Kita mohon perjawatan baru kpd kerajaan dari segi logistik, pembangunan fizikal seperti pejabat-pejabat GST yang akan kita masukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Kita menjangkakan pertambahan bilangan pegawai yang agak besar," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain