suria

Kastam Berjaya Rampas Dadah Seludup RM52j Tahun Ini

KELANA JAYA: Nilai rampasan dadah yang cuba diseludup masuk ke negara ini meningkat hampir 200 peratus tahun ini iaitu RM52.11 juta berbanding RM17.65 juta pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Ibrahim Jaapar berkata, peningkatan berkenaan adalah hasil rampasan pelbagai jenis dadah yang cuba dibawa masuk secara haram sama ada menggunakan darat, laut dan udara.

Sepanjang tahun ini sahaja, katanya, terdapat sebanyak 60 kes rampasan di seluruh negara berbanding 31 kes tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 93.6 peratus.

Menurutnya, sebahagian besar dadah dirampas melalui pemeriksaan para penumpang dan bagasi mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Modus operandi penyeludup sekarang menjadi lebih sofistikated. Dua tiga hari lepas, Kastam dapat mengesan jaket dicelup dalam cecair dadah dan dikeringkan. Jadi, dadah itu keras di baju macam kanji.

"Kebanyakannya datang dari Timur Tengah dan India. Kita telah mempertingkatkan kawalan di semua pintu masuk supaya memberi tumpuan pemeriksaan bagi bagasi-bagasi yang dibawa oleh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Penguatkuasaan Kastam dan pelancaran buku "Compendium of Customs Legislations and Cases (1932-2009)" di sini hari ini.

Dalam mesyuarat kali ketiga itu, pengarah-pengarah negeri kastam merangka perlaksanaan strategik bagi 2010 berasaskan pelan perancangan strategik KDRM 2010-2014 selaras dengan dasar dan pelan transformasi kerajaan.

Buku yang dilancarkan itu mengandungi semua kes-kes mahkamah melibatkan kastam sejak dari 1932 hingga 2009.

Ia bertindak sebagai jurnal undang-undang bagi rujukan pegawai-pegawai kastam apabila membawa kes-kes ke mahkamah. Sebanyak RM300,000 dibelanjakan untuk tujuan penerbitan buku itu yang akan diedarkan ke seluruh negara.

Menurut Ibrahim, sejak 23 Disember lalu, tiga suspek telah ditahan dalam tiga kes berasingan di KLIA berhubung penyeludupan dadah menggunakan taktik celup dan kering itu.

Katanya, KLIA mencatatkan kes penyeludupan dadah paling tinggi dengan sebanyak 23 kes dilaporkan berbanding 15 kes pada tahun lalu.

"Seramai 40 suspek ditahan di lapangan antarabangsa itu berbanding 13 orang pada tahun lepas," ujarnya.

Sementara itu, Ibrahim memberitahu, pihak kastam berjaya merampas barang seludup bernilai RM237.14 juta, iaitu meningkat sebanyak 40.1 peratus berbanding RM169.27 juta tahun lalu.

Katanya, rampasan itu melibatkan 4,106 kes dengan seramai 2,767 orang ditahan untuk membantu siasatan, manakala 33 orang dihadapkan ke mahkamah.

"Barang-barang seludup terdiri daripada rokok, minuman keras, mercun dan bunga api, kenderaan dan dadah," ujarnya.

Beliau memberitahu, rampasan ke atas rokok tahun ini bernilai RM55.4 juta, menurun dibandingkan tahun lalu iaitu RM58.2 juta.

Tambahnya, minuman keras yang dirampas pula bernilai RM5.44 juta pada tahun ini (RM7.45 juta tahun lalu, mercun dan bunga api adalah RM4.36 juta (RM12.47 tahun lalu) serta kenderaan bernilai RM13.67 juta berbanding RM10.36 juta pada tahun lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain