suria

Jenayah Jalanan Meningkat Di Pulau Pinang

PULAU PINANG: Kira-kira 3,786 kes jenayah jalanan direkodkan di Pulau Pinang setakat ini tahun ini berbanding 3,523 kes tahun lepas, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob.

Beliau berkata, jenayah jalanan yang melibatkan curi motosikal, ragut, samun dan lumba haram itu menyaksikan peningkatan sebanyak 263 kes iaitu 27.5 peratus tahun ini.

"Dalam kebanyakan kes jenayah, suspek dikenal pasti menggunakan motosikal sebagai kenderaan sama ada secara individu, berpasangan atau berkumpulan terutama dalam kes samun dan ragut.

"Kita mempelawa masyarakat bekerjasama dengan polis memberi input serta idea, saya percaya ada pendekatan berkesan untuk mengubah perkara ini," katanya kepada pemberita selepas program Kembara Komuniti Polis Pulau Pinang di sini, hari ini.

Ayub mengetuai konvoi motosikal berkuasa tinggi yang disertai kira-kira 50 anggota polis termasuk kira-kira 50 anggota Kelab Motosikal Pulau Pinang bagi mempromosikan kempen penyertaan Rakan Cop dan kempen pencegahan jenayah di kalangan masyarakat.

Konvoi sehari yang bermula di Batu Feringgi itu berakhir di Batu Maung di sini.

Ayub berkata jenayah jalanan menyumbang kira-kira 40 peratus kepada keseluruhan kes jenayah di Pulau Pinang.

"Berapa banyak pun anggota polis yang ditambah dan dikerah, jenayah bermotosikal tetap berlaku tetapi kunci pencegahan paling penting ialah melalui kerjasama orang ramai," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain