suria

Dua Klinik Swasta Dikenal Pasti Terlibat Dalam Penjualan Bayi

KUALA LUMPUR: Polis Selangor yang mengesan bukti baru dalam usaha melumpuh satu sindiket penjualan bayi, sudah mengenal pasti dua klinik swasta yang disyaki terlibat dengan sindiket itu yang tumpas dalam 'Ops Kasih' di Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil keterangan doktor serta pegawai klinik yang terletak di Selayang dan Klang itu tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai klinik berkenaan sehingga rakaman percakapan doktor dan pegawai dari kedua-dua klinik itu diambil.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan klinik ini terbabit dalam urusan dokumentasi kelahiran bayi," katanya pada Hari Mesra Bersama Masyarakat Dengan Polis di sini hari ini.

Dalam 'Ops Kasih' yang bermula awal bulan ini, polis Selangor berjaya membongkar kegiatan penjualan bayi selepas menahan sembilan ejen termasuk dalang dan empat pembeli di sekitar Banting, Klang dan Kajang.

Sehingga ini polis berjaya menyelamatkan 10 bayi berumur lingkungan dua minggu hingga sembilan bulan serta seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, dan seorang wanita serta dua anak perempuannya sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memperdagang tiga bayi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain