suria

Cubaan Samun Kedai Emas Gagal

KUALA LUMPUR: Sekumpulan perompak berputih mata apabila mereka gagal memecahkan almari cermin yang menempatkan barangan kemas di sebuah kedai emas di Taman Kinrara, Puchong di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari, sekumpulan penjenayah yang terdiri daripada lapan lelaki memasuki kedai terbabit dengan memakai topi keledar muka penuh bagi mengelakkan wajah mereka dicam.

Pemilik kedai itu yang mahu dikenali sebagai Sim, 50, berkata perompak itu menunggang empat motosikal dengan bersenjatakan dua bilah parang, sepucuk pistol dan dua tukul besi.

"Melalui kamera litar tertutup (CCTV), saya nampak perompak berkenaan beberapa kali cuba memecahkan cermin kebal kalis peluru yang menempatkan barang kemas namun gagal.

"Apabila pintu kedai ditutup secara automatik oleh salah seorang daripada empat pekerja yang berada dalam kedai menyebabkan perompak cabut lari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata tujuh perompak memasuki kedai emas itu manakala seorang menunggu di motosikal yang diletakkan di hadapan kedai.

Menurutnya, pengawal keselamatan menggunakan penyembur pemedih mata untuk melawan perompak dan telah bergelut dengan salah seorang perompak mengakibatkannya cedera ditetak dengan parang dan luka di tangan dan dihantar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sim yang telah menjalankan perniagaan lebih dari 10 tahun di kawasan itu berkata insiden tersebut merupakan kali ketiga menimpa premisnya pada tahun ini dan kesemuanya digagalkan.

Beliau berkata tahap sekuriti premisnya itu akan dipertingkatkan lagi termasuk menggunakan khidmat pengawal keselamatan pada setiap waktu bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Abdul Aziz Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain