suria

Pencawang Terbakar: 26,000 Pengguna Elektrik Putus Bekalan

JOHOR BAHARU: Kira-kira 26,000 pengguna di sebahagian kawasan Masai, Pasir Gudang dan Johor Jaya di sini, terputus bekalan elektrik apabila peti pembekal kuasa di Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Puteri, di sini terbakar malam semalam.

Pengurus Besar TNB Johor, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, antara perumahan yang terlibat akibat kebakaran kabel dan alat suis 11kV pada ja, 10.45 malam itu termasuk Taman Megah Ria, Taman Rinting, Taman Kota Puteri, Permas Jaya, Seri Alam dan Plentong.

"Kerja-kerja pembaikan akibat kebakaran itu sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Aminuddin berkata, sehingga jam 6 pagi tadi, kira-kira 50 peratus bekalan elektrik di sebahagian kawasan perumahan yang terlibat berjaya dipulihkan manakala bakinya yang melibatkan kawasan Seri Alam dan Kota Puteri dijangka pulih kira-kira jam 8 pagi esok.

Beliau berkata, 12 buah janakuasa bergerak sudah dihantar ke kawasan yang masih terputus bekalan manakala lapan buah janakuasa bergerak lagi dijangka ditambah petang ini bagi memastikan pengguna mendapat bekalan.

Katanya, punca kebakaran itu masih disiasat dan kerugian awal yang dicatatkan dianggarkan sebanyak RM5 juta.

"Kejadian ini tidak mengakibatkan sebarang kecederaan ke atas orang ramai TNB meminta semua pengguna termasuk penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan supaya dapat bersabar sementara menunggu kerja-kerja pembaikan selesai," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahli Perniagaan Dirompak RM930,000

Artikel Lain