suria

NUJ Cadang Panel Parlimen Untuk Maklum Balas Pindaan ISA

KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia menggesa kerajaan melantik sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi mendapatkan maklum balas awam sebelum pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)dibahaskan di Parlimen.

Perbincangan mengenai pindaan kepada akta itu tidak harus tertumpu kepada satu kumpulan kecil, kata Setiausaha Agung NUJ, V.Anbalagan dalam satu kenyataan hari ini.

"Sebagai kumpulan berkepentingan, NUJ tidak dipelawa ke sebarang perbincangan oleh Kementerian Dalam Negeri ataupun pendapatnya diminta," kata beliau, menyebut sebagai contoh penahanan seorang wartawan selama 18 jam tahun lepas berhubung sebuah artikel.

Beliau berkata, oleh kerana NUJ tidak mengetahui tentang kandungannya, ia tidak berada pada kedudukan untuk dapat menyokong atau menolak pindaan itu.

Khamis lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Hishammuddin berkata, berikutan pertemuan dan perbincangan awam dengan kumpulan-kumpulan sasaran, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang kini berada di peringkat akhir kajian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan semasa sesi berkenaan sebelum pindaan dibentangkan di Parlimen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahli Perniagaan Dirompak RM930,000

Artikel Lain