suria

MBSA Tawar RM1 Bagi Seekor Tikus

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan RM1 bagi seekor tikus yang ditangkap di sekitar kawasan pangsapuri di Seksyen 16 di sini sempena Kempen 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan kitar semula di kawasan itu hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohtar Hani berkata, ganjaran wang tunai itu ditawarkan sebagai galakan supaya penduduk di kawasan sekitar mengambil bahagian dalam kempen itu.

"Kita tawarkan RM1 bagi setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap di kawasan pangsapuri terawal dibina di Shah Alam ini untuk memastikan kempen 3K pada hari ini berjaya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen 3K di kawasan itu hari ini.

Katanya, kempen 3K akan diadakan secara berterusan bagi mendidik penduduk supaya sentiasa prihatin dengan kebersihan kawasan tempat tinggal mereka kerana persekitaran yang kotor akan mengundang binatang perosak terutamanya tikus sekaligus berisiko menyebarkan penyakit berbahaya.

Menurutnya, selain aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar dan memusnahkan binatang perosak itu, MBSA juga akan mengadakan aktiviti pembersihan sampah pukal seperti perabot lama, almari, kerusi serta sampah-sampah kebun seperti dahan, ranting, daun dan kayu.

"Kita juga akan menjalankan tindakan penguatkuasaan dari rumah ke rumah bagi memastikan kawasan kediaman sentiasa bebas dari pembiakan binatang perosak yang mengundang penyakit," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahli Perniagaan Dirompak RM930,000

Artikel Lain