suria

Mayat Kanak-Kanak Masih Tidak Boleh Dituntut

KUALA LUMPUR: Polis masih belum membenarkan waris atau ahli keluarga terdekat menuntut mayat seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di Kampung Boyan, Jalan Semarak, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, proses tuntutan itu hanya boleh dibuat selepas keputusan laporan DNA daripada pasangan yang kini ditahan berhubung kes itu.

"Kita masih menunggu laporan DNA wanita yang mendakwa sebagai ibu kanak-kanak itu serta teman lelakinya bagi mengesahkan sama ada pasangan ini mempunyai pertalian dengan kanak-kanak terbabit atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wanita yang berumur 34 tahun itu direman tujuh hari selepas tampil membuat laporan berhubung kehilangan anaknya, Khamis lepas. Sementara teman lelaki wanita itu yang juga berumur 34 tahun ditahan polis sejak petang semalam.

Semalam, seorang yang mendakwa beliau ialah bapa saudara mangsa cuba menuntut mayat kanak-kanak itu yang ditemui dalam Kolam Tadahan Banjir, Kampung Boyan dekat Jalan Semarak di sini Zakaria berkata, keputusan DNA biasanya akan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.

"Namun kita berharap ujian tersebut dapat disiapkan dalam tempoh seminggu," katanya.

Mayat kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun itu ditemui tiga pekerja pembersihan sampah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang membersihkan kolam itu kira-kira 11.30 pagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahli Perniagaan Dirompak RM930,000

Artikel Lain