suria

Lima Juta Pokok Bakau Ditanam Sejak Tsunami

NIBONG TEBAL: Kira-kira lima juta pokok bakau ditanam di kawasan pesisir pantai seluruh negara sejak empat tahun lepas berikutan kejadian tsunami 26 Disember 2004 yang meragut 68 nyawa di negara ini.

Pengarah Perhutanan Pulau Pinang, Mohd Puat Dahalan berkata, penanaman pokok bakau itu bertujuan mewujudkan zon penampan yang bertindak sebagai benteng jika berlakunya tsunami.

"Selain mewujudkan benteng pemecah ombak semula jadi, penanaman bakau juga dapat mengurangkan daya kekuatan pukulan ombak dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kejadian hakisan dan mendapan," katanya kepada pemberita selepas majlis penanaman bakau sempena memperingati kejadian tsunami di sini, hari ini.

Katanya, beberapa kawasan yang ditanam pokok bakau secara sistematik melibatkan kawasan yang pernah dilanda tsunami iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Beliau berkata, pemantauan berkala dilakukan oleh kontraktor yang dilantik menanam pokok itu dan juga unit khas di Jabatan Perhutanan negeri bagi memastikan pokok yang ditanam tidak rosak.

Sementara itu, anggota Majlis Sahabat Alam Malaysia (SAM) Mohideen Abdul Kader mencadangkan pemberian kontrak menanam bakau kepada kontraktor dikaji semula bagi menggalakkan penglibatan penduduk setempat terutamanya golongan nelayan.

"Banyak tanaman bakau oleh kontraktor dilakukan secara sambil lewa dan banyak yang rosak memandangkan ia tidak dipantau secara teliti," dakwanya.

Menurut beliau, projek tanaman bakau yang dilakukan secara sukarela oleh pertubuhan nelayan menunjukkan kesan yang sangat positif kerana golongan itu sedar betapa pentingnya tanaman itu kepada mereka.

"Wajar jika projek penanaman bakau turut melibatkan komuniti setempat termasuk nelayan agar ia benar-benar dapat mencapai objektifnya," katanya.

Beliau berkata, terdapat persatuan nelayan yang mengambil inisiatif menanam pokok bakau, sebagai contoh, Persatuan Kebajikan Nelayan Pantai Pulau Pinang yang berjaya mengumpul dana untuk menanam kira-kira 120,000 pokok bakau sejak tahun 1997. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahli Perniagaan Dirompak RM930,000

Artikel Lain