suria

Bayi Mangsa Dera Akan Diserah Kepada JKM

KUANTAN: Bayi perempuan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sejak Rabu lalu yang dipercayai didera ibu bapanya akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang untuk penjagaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, pihaknya sedang menguruskan prosedur pemindahan hak jagaan sementara bayi berusia tujuh bulan yang juga merupakan bayi Sindrom Down itu kepada JKM.

"Apa yang penting, bayi malang ini diharapkan segera pulih daripada kecederaan yang dialaminya," katanya.

Bayi itu dilaporkan mengalami pendarahan pada otak dan mata, terdapat kesan lebam lama pada badannya serta sawan dipercayai didera bapa dan ibunya yang berusia 20 dan 19 tahun di Lorong Perdana, Bukit Setongkol di sini sejak beberapa minggu lepas.

Kesan kecederaan disedari oleh doktor yang merawat mangsa selepas bayi itu dibawa ke HTAA selepas ibu bapa bayi malang itu mendakwa dia terjatuh ketika didukung.

Menurut Kamaruzzaman, keadaan bayi berkenaan dilaporkan semakin stabil namun dia masih ditempatkan di ICU.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kedua ibu bapa bayi itu yang kini direman seminggu bagi membantu siasatan sebelum tindakan pendakwaan boleh diambil atau tidak terhadap mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahli Perniagaan Dirompak RM930,000

Artikel Lain