suria

Angkasawan Negara Lancar Biasiswa Bantu Pelajar

KUALA LUMPUR: Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dengan kerjasama Kolej Sains Perubatan (ACMS) hari ini melancarkan Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS yang bertujuan membantu pelajar yang tidak memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang tetapi berminat menjadi doktor untuk meneruskan impian mereka.

Dr Sheikh Muszaphar berkata, buat permulaan program itu akan membiayai 200 orang pelajar mulai tahun depan dan setiap seorang akan menerima kira-kira RM2,000 untuk memulakan pengajian di kolej tersebut.

"Dengan cara ini kita akan membantu mereka yang betul-betul berminat (untuk menjadi doktor). Mungkin perlu melakukan diploma dahulu seperti fisioterapi, nursing dan sebagainya.

"Ini (biasiswa) lebih untuk mereka mencapai impian mereka untuk menjadi doktor," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat motivasi kepada pelajar-pelajar dalam suatu program anjuran ACMS di sini hari ini.

Menurutnya, beliau akan menjadi bapa angkat kepada pelajar-pelajar yang terpilih dan akan membimbing mereka secara langsung.

Sementara itu, Pengerusi ACMS, Datuk Dr Zainuddin Wazir berkata, biasiswa itu akan membantu para pelajar untuk memulakan pengajian di ACMS dalam tempoh tiga bulan pertama, iaitu untuk makan-minum, keperluan harian, membeli tiket kapal terbang, membeli buku teks dan sebagainya, sebelum pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara pelajar diluluskan.

"Kriteria yang ditetapkan adalah sama dengan syarat kemasukan ke ACMS Pelajar-pelajar yang berminat hanya perlu mendaftar dengan kami, tetapi pastinya pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan akan kami utamakan," katanya.

Maklumat mengenai program biasiswa itu boleh didapati daripada laman web ACMS www.acms.edu.my atau melalui laman facebook Sheikh Muszaphar-ACMS Scholarship Fund. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ahli Perniagaan Dirompak RM930,000

Artikel Lain