suria

Polis Sita 17 Motosikal, Keluar 180 Saman

KUALA LUMPUR: Polis Trafik Kuala Lumpur mengeluarkan 180 saman dan menyita 17 buah motosikal atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu sempena perayaan Hari Krismas di sekitar ibu kota awal pagi tadi.

Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Ng Fook Long berkata, dalam operasi tiga jam bermula pukul 11 malam tadi, pelbagai kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh dan mengubah suai kenderaan.

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 180 saman terhadap pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan cermin gelap dan mengubah suai kenderaan mereka," katanya kepada pemberita selepas operasi itu berakhir pada jam 2 pagi.

Selain itu, empat lelaki tempatan turut ditahan apabila ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah.

Menurutnya, operasi yang dijalankan serentak di empat lokasi iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tunku Abdul Rahman bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna agar mematuhi peraturan dan undang-undang di jalan raya terutama tidak mengubah suai kenderaan mereka.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama JPJ, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Siasatan Jenayah dan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dengan kekuatan 90 anggota.

"Operasi sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi membanteras gejala negatif khususnya di kalangan muda-mudi kerana kita percaya operasi sebegini memberi impak dan kesan positif kepada mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain