suria

Pegawai Dan Anggota Diberhentikan Sebelum Kehilangan Enjin Pesawat - TUDM

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai berpangkat Brigadier Jeneral dan beberapa anggota lain telah dikenakan tindakan pemberhentian sebelum kejadian kehilangan dua enjin pesawat F-5E diketahui berlaku.

Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, tindakan itu lebih berkaitan kepada ketidakcekapan dan prestasi kerja yang merupakan langkah-langkah biasa dilaksanakan untuk mencegah perkara yang tidak diingini berulang.

"Dengan adanya kenyataan ini, TUDM berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian yang bercanggah daripada fakta sebenar untuk mengelakkan kekeliruan pelbagai pihak.

"TUDM sentiasa peka di atas keperluan untuk memantapkan sistem pengurusan aset dan operasi bagi memastikan kesiapsiagaan TUDM berada pada tahap yang terbaik pada sebilang masa," kata kenyataan itu.

Berhubung kes kehilangan enjin pesawat F-5E yang dilaporkan media baru-baru ini, ia telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"TUDM difahamkan kes itu sedang dikaji dan menanti arahan dari Peguam Negara untuk tindakan seterusnya," kata kenyataan itu.

Oleh itu, TUDM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan dan pendakwaan dan berharap semua pihak menunggu maklum balas dari Pejabat Peguam Negara sebelum memberikan sebarang kenyataan.

TUDM telah mula mengoperasikan pesawat F-5E pada 1974. Pada 1999, TUDM menamatkan perkhidmatan pesawat itu dan tugasnya sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambilalih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, usia menjangkau 29 tahun di dalam inventori TUDM, pada 2003 pesawat itu telah diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain