suria

Kerajaan Umum Pakej Galakan Cukai Bagi Industri Aeroangkasa

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam mengumumkan satu pakej galakan cukai yang komprehensif bagi industri aeroangkasa dalam usahanya untuk menjadi pusat global bagi industri tersebut di rantau Asia Pasifik.

Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam berkata pakej itu memfokus kepada empat bidang utama dalam industri aeroangkasa yang terdiri daripada kumpulan mereka bentuk, perkilangan dan pemasangan; kumpulan operator, kumpulan sokongan dan kumpulan kawal selia.

Kementerian itu berkata pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh dari lima tahun sehingga kepada 15 tahun tertakluk kepada penilaian dari segi pelaburan, nilai ditambah, teknologi dan kriteria lain yang berkaitan akan diberikan kepada kumpulan mereka bentuk, perkilangan dan pemasangan.

Bagi kumpulan operator pula yang terdiri daripada aktiviti penerbangan awam, mereka layak mendapat elaun cukai pelaburan (ECP) sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak bagi tempoh 10 tahun tertakluk kepada penilaian dari segi pelaburan dalam aset tetap melebihi RM150 juta dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, kumpulan sokongan yang terdiri daripada aktiviti penyelenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) dan latihan bidang aeroangkasa layak mendapat beberapa insentif.

Antaranya, pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan statutori bagi tempoh sehingga 10 tahun untuk syarikat yang menyediakan perkhidmatan MRO dan perkhidmatan berkaitan keluaran akhir produk angkasa.

Selain itu, mereka juga akan mendapat pengecualian cukai pendapatan 100 peratus daripada pendapatan statutori bagi tempoh sehingga 15 tahun untuk syarikat yang terlibat dalam pengubahan (conversion), menaik taraf dan membaik pulih semula keluaran akhir produk aeroangkasa.

Kementerian itu berkata kedua galakan tersebut tertakluk kepada penilaian oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dari segi jumlah pelaburan, nilai ditambah dan kesan kepada ekonomi negara yang signifikan.

Selain itu, ECP sebanyak 60 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak dilakukan dalam tempoh lima tahun bagi syarikat MRO yang sedang beroperasi di Malaysia dan yang membuat pembesaran, pemodenan atau automasi perniagaan semasa atau mempelbagaikan perniagaan semasa bagi produk berkaitan dalam industri yang sama.

Katanya potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh majikan untuk latihan pekerja bagi latihan pengubahan perintis dan juruterbang jurulatih.

Bagi kumpulan kawal selia yang terdiri daripada syarikat yang menjalankan aktiviti aeroangkasa berkaitan pensijilan, pembangunan standard, pemeriksaan dan penilaian dan pelesenan pula layak mendapat pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan statutori bagi tempoh lima tahun atau pengecualian daripada pendapatan statutori bersamaan dengan 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dilakukan dalam tempoh lima tahun.

Pakej galakan tersebut berkuat kuasa bagi permohonan yang diterima oleh MIDA mulai 1 Januari 2010 hinggan 31 Disember 2014.

Tempoh permohonan bagi galakan ini ditetapkan bagi mempercepatkan pelaburan dalam industri aeroangkasa sekaligus mempertingkatkan pertumbuhan dan dapat menarik minat pelabur asing dalam industri berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain