suria

Dua Warga Thailand Maut Digilis Bas Ekspres

TANAH MERAH: Dua warganegara Thailand maut digilis sebuah bas ekspres dalam satu kemalangan di Kilometer 79.5 Pekan Bukit Bunga, dekat sini, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11.45 malam apabila motosikal yang ditunggang Rusmee Che Mae, 15, dan Mis Suniza Mamat, 17, melanggar belakang sebuah kereta Kancil, semasa mereka keluar dari satu simpang.

Beliau berkata, mereka dipercayai hendak melintas jalan apabila terlanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah kereta Kancil mengakibatkan kedua-duanya tercampak ke tengah jalan.

"Ketika itu sebuah bas ekspres yang bergerak laju dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli tidak sempat membrek, lalu terus menggilis kedua-duanya," katanya.

Abdul Aziz berkata, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, pemandu kereta, pemandu bas ekspres dan kesemua penumpang bas itu yang dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Taiping, Perak tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain