suria

Polis Rampas Rokok RM2 Juta, Tahan Lelaki Cuba Sogok RM5,000

KUANTAN: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan dan merampas rokok pelbagai jenis yang dianggar bernilai kira-kira RM2 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata seorang daripada lelaki berkenaan didapati cuba menyogok anggota polis dengan wang tunai RM5,000 supaya melepaskannya.

"Kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 40 tahun itu ditahan untuk siasatan dan salah seorang daripadanya akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuba merasuah polis," katanya dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Chendering, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan pada pukul 4.30 petang, polis menahan seorang lelaki bersama 9,542 karton rokok dan wang tunai RM3,354.

Katanya susulan tangkapan itu, polis menahan dua lagi lelaki yang memiliki 9,182 karton rokok yang dipercayai dilarikan cukai di Taman Pandan Damai kira-kira dua jam kemudian. "Selain rokok, polis turut merampas sebuah lori dan sebuah van yang dipercayai digunakan oleh suspek," katanya.

Sharifuddin berkata dalam serbuan ketiga pada pukul 8 malam, polis menahan seorang lelaki bersama 750 karton rokok di sebuah stesen minyak di Taman Tas, di sini.

Katanya lelaki itu cuba menyogok anggota polis terlibat dengan wang tunai RM5,000 supaya tidak diambil tindakan, namun ia tidak dilayan. BERNAMA

Artikel Lain