suria

Pindaan AKDN Akan Dibentang Pada Sidang Dewan Rakyat Akan Datang

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, ini kerana jika dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini (yang baru saja berakhir), ia tidak sempat dibahaskan.

"Sememangnya menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk membentangkan sebarang pindaan AKDN 1960 di Parlimen dengan kadar segera apabila semua aspek kajian dan prosedur berkaitan telah dipatuhi dan diyakini.

"Bagaimanapun, saya merasakan bahawa pindaan ini lebih sesuai dibentangkan dan dibahaskan terus pada sidang Dewan Rakyat akan datang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tambahan pula, pertemuan awam telah berlangsung dengan jayanya serta terdapat permintaan daripada ahli-ahli parlimen pembangkang agar mereka turut dilibatkan dalam pertemuan awam seterusnya.

"Permintaan ini disuarakan kepada saya ketika penggulungan Bajet 2010 kementerian pada 10 Nov lalu.

"Malah, permintaan badan-badan NGO untuk mengadakan sesi-sesi penerangan dan perbincangan awam untuk mendapat respon juga perlu diberikan perhatian dan ruang masa secukupnya," katanya.

Hishammuddin berkata, hasil daripada sesi pertemuan awam dan perbincangan bersama kumpulan fokus, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang sedang di peringkat akhir untuk meneliti setiap pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan semasa sesi tersebut sebelum sebarang pindaan dibentangkan di Parlimen.

Katanya, ini adalah kerana AKDN 1960 adalah undang-undang pencegahan yang sangat penting dan sebarang penggubalan atau pindaan berhubung kait dengannya memerlukan kajian dan penelitian terbaik.

Beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal itu turut membuat perbandingan dengan undang-undang yang diamalkan di negara-negara lain. Menurutnya, beliau turut meminta setiap kajian dan penelitian yang dilakukan mengambil kira lima isu pokok yang telah dikenalpasti iaitu kuasa-kuasa Menteri; tempoh tahanan; hak dan layanan terhadap orang tahanan; persepsi umum bahawa pelaksanaan akta itu bagi tujuan politik; dan penahanan tanpa bicara.

Katanya, langkah itu bagi memastikan sebarang pindaan atau penambahbaikan terhadap akta tersebut adil dan saksama serta tidak akan menimbulkan sebarang salah faham atau persepsi negatif rakyat apabila pindaan tersebut dikuatkuasakan kelak.

"Sesungguhnya, pihak kerajaan sentiasa berpendapat bahawa AKDN 1960 adalah yang terbaik dan berupaya untuk mengekalkan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat daripada sebarang ancaman atau tindakan yang boleh menggugat kestabilan negara dan rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain