suria

Perlis Lupus Hutang Allahyarham Zamberi

KANGAR: Lembaga Biasiswa Negeri Perlis hari ini menghalalkan hutang allahyarham Mohd Zamberi Saad berikutan kesulitan ibu dan balunya untuk menjelaskan baki pinjaman pelajaran berjumlah RM15,000 yang tertunggak sejak 2001.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengumumkan keputusan itu kepada ibu Mohd Zamberi, Wan Tom Wan Hamid, 75, dan balunya, Sham Hassan, 39, semasa menziarahi mereka di Banggol Sena, Chuping, dekat sini hari ini.

Semasa pertemuan itu, beliau turut menyerahkan sijil hapus kira hutang itu kepada Wan Tom dengan disaksikan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Musa Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis, Mansor Jusoh.

Md Isa turut menyampaikan sumbangan beras kepada Wan Tom dan wang tunai kepada empat anak allahyarham Mohd Zamberi yang pernah bertugas di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum kematiannya di Hospital Kuala Lumpur akibat kanser pada 6 Jun 2001.

Ketika ditemui Sham berkata, allahyarham suaminya membuat pinjaman RM20,000 daripada Lembaga Biasiswa Negeri Perlis untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dalam bidang Teknologi Maklumat pada awal tahun 90-an dan selepas itu menjadi tutor di UUM.

Selepas dua tahun, Mohd Zamberi melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang yang sama di Universiti Nottingham di England dan kembali semula ke UUM sebagai seorang pensyarah selama empat tahun sebelum menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di Universiti Leeds, England.

Selepas lapan bulan di Universiti Leeds, beliau dikesan menghidap kanser lalu kembali ke tanah air untuk mendapat rawatan dan meninggal dunia di Kuala Lumpur pada usia 32 tahun.

Sham berkata, semasa hayatnya, Mohd Zamberi telah membayar hutang pelajarannya dengan sempurna namun selepas kematian suaminya itu, beliau tidak berupaya untuk menjelaskan hutang berkenaan disebabkan kesempitan hidup.

Sham dan Wan Tom bersyukur kerana kerajaan negeri menghalalkan baki hutang allahyarham Mohd Zamberi untuk meringankan beban kehidupan mereka.

"Selama ini kami sentiasa berfikir bagaimana untuk menjelaskan baki hutang itu. Saya dah tua," kata Wan Tom. - BERNAMA

Artikel Lain