suria

Pembuli Jalanan Ditahan Reman Empat Hari

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi pembuli jalanan dalam satu kejadian di Seri Kembangan baru-baru ini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, lelaki itu ditahan reman bermula semalam selepas menyerah diri di Balai Polis Seri Kembangan dekat sini tengah hari semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam Isnin lepas, sepasang suami isteri, kedua-duanya berumur 24 tahun, sedang menaiki motosikal untuk ke pasar malam di Seri Kembangan apabila tiba-tiba sebuah kereta yang dinaiki suspek mencelah di hadapan mereka tanpa memberi isyarat untuk membelok, menyebabkan kedua-duanya jatuh ke dalam longkang.

Katanya berang dengan kejadian itu, mangsa kemudian mengejar dan berjaya menahan suspek kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dan selepas berunding, kedua-dua mereka bersetuju untuk membuat laporan polis.

Bagaimanapun, Zainal berkata, ketika sedang dalam perjalanan ke balai polis berhampiran, suspek bertindak di luar batasan dengan merempuh motor mangsa dari belakang menyebabkan kedua-duanya terjatuh di bahu jalan.

Zainal berkata, tidak cukup dengan itu, suspek kemudian memukul kedua-dua mangsa dengan suami mengalami kecederaan patah rusuk dan kaki, cedera di leher dan mendapat 12 jahitan di kepala manakala isterinya mengalami kecederaan serius di kepala.

"Kedua-dua mangsa yang sedang mendapatkan rawatan di Sunway Medical Centre dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian membuat laporan polis namun tiba-tiba melarikan diri kira-kira seminggu sebelum menyerah diri tengah hari semalam. - BERNAMA

Artikel Lain