suria

Pasangan Temui Ajal Pada Hari Ulang Tahun Perkahwinan

JITRA: Tiga sekeluarga maut manakala seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan tanah dan empat buah kereta di Jalan Jitra-Kodiang di sini, kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin berkata mangsa yang terbunuh ialah pemandu serta penumpang kereta Proton Wira, Bunyamin Yaakub, 30, isterinya, Normah Mad Isa, 29, dan anak mereka Ilnur Balqis berusia sembilan bulan.

Kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya mangsa yang cedera parah ialah pemandu kereta jenis Naza Sutera, Othman Bakar, 50, yang dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala penumpangnya Noor Sarena Bakar, 47, hanya cedera ringan.

Sementara itu, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu dua buah kereta lagi tidak cedera.

"Siasatan awal mendapati lori yang datang dari arah bulatan Hospital Jitra, mengalami kerosakan mekanikal (brek), lalu terbabas serta bergesel dengan dua buah kereta, sebelum melanggar dua buah kereta lain yang sedang berhenti di lampu isyarat. "Kereta dinaiki mangsa yang terbunuh diseret kira-kira 20 meter sehingga ke deretan bangunan bazar," katanya.

Sawaludin berkata pemandu lori berusia 34 tahun ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian. BERNAMA

Artikel Lain